Tuesday, July 27, 2010 | By: Nadirah

Aku Lebih Baik daripada Kamu?

oleh: Pahrol Mohd Juoi
(Solusi Isu 21)

Takabbur sebenarnya hak mutlak dan eksklusif Allah s.w.t. Tiada siapa pun yang boleh mencabar-Nya. Orang yang takabbur pasti lebur. Mereka akan musnah di dunia dan akan terseksa di akhirat. Ini detegaskan sendiri oleh-Nya melalui sebuah hadis Qudsi:

Daripada Abu Sa'id al-Khudri dan Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Allah berfirman: 'Kesombongan adalah selendang-Ku dan kebesaran adalah sarung-Ku. Maka sesiapa yang bersaing dengan-Ku pada satu daripada kedua-duanya, maka pasti akan Kulemparkan ia ke dalam jahannam." (Riwayat Abu Daud no.4092 dan Ibn Majah no 4147)

Jelas di sini, takabbur ialah ibu segala sifat mazmumah. Daripada sombong lahirnya marah, hasad, ujub, riya' sum'ah, tamak, bakhil, dan sebagainya.

Sejarah Takabbur

Kederhakaan dalam kalangan makhluk terhadap Khaliq ialah keengganan iblis dalam mematuhi perintah Allah untuk sujud hormat kepada Nabi Adam a.s. Tidakkah ini disebabkan rasa takabbur? Iblis yang merasakan dirinya lebih baik, tidak mahu tunduk kepada Nabi Adam a.s. hanya kerana dirinya diciptakan daripada api berbanding Nabi Adam yang diciptakan daripada tanah. Sindrom "ana khairun minhu" (aku lebih baik daripadanya) ini akhirnya turut menular menjangkiti manusia. 

Alhasil, lahirlah Qabil, anak Nabi Adam a.s. sendiri yang merasakan dirinya lebih baik dan berhak mengahwini saudara perempuannya yang lebih cantik berbanding adiknya Habil. Lalu pembunuhan pertama dalam sejarah kemanusiaan pun berlaku. Qabil mengikuti jejak iblis apabila lebih mementingkan kehendak nafsu berbanding hukum yang telah ditetapkan, sebagaimana iblis enggan mengiktiraf kelebihan ilmu yang ada pada diri Nabi Adam a.s. Begitu juga Qabil yang tidak dapat menerima hakikat bahawa pengorbanan adiknya Habil lebih ikhlas berbanding dirinya.


Menerusi sifat takabbur yang diwarisi iblis meneruskan "legasinya". Dia terus merekrut "protege"nya yang terdiri daripada syaitan dan manusia sepanjang zaman. maka lahirlah Firaun, Haman, Qarun, Namrud, Abu Lahab, Abu Jahal, Kamal Artaturk dan ramai lagi. 

Golongan inilah yang banyak menentang kebenaran yang dibawa oleh para Rasul, ulama al-amilin dan mujahid-mujahid Islam kerana merasakan fikiran, sistem kepercayaan, keturunan, harta, dan diri mereka lebih baik daripada kebenaran ajaran Allah. Apatah lagi ajaran itu hanya diseru oleh insan-insan yang pernah menjadi pengembala kambing, anak yatim, miskin, dan ummi (tidak pandai menulis dan membaca) tetapi dipilih oleh Allah untuk membawa misi kebenaran.

daripada hembusan takabbur itulah juga lahirnya Zionis Yahudi yang merasakan mereka adalah "God's Chosen People"- insan pilihan Tuhan untuk memerintah, menguasai, dan memperkotak-katikkan bangsa-bangsa lain yang meeka anggap lebih hina. Apabila asabiyyah bangsa (bani Israel) digaul dengan penyelewengan agama (agama Yahudi) lalu ditunjangi sifat takabbur maka lahirlah penindasan, keganasan, dan penjarahan yang tiada batasan.


Definisi Takabbur

Takabbur sering menyerang individu yang mempunyai potensi. Lebih banyak potensi yang dimiliki oleh seseorang maka lebih terdedahlah dia dengan sifat takabbur. semuanya gara-gara meraskan diri "lebih" daripada orang yang "kuang". Berasa diri mulia, orang lain hina. Rasulullah s.a.w. memberi definisi tepat dan padat tentang takabbur meneusi sabdanya yang bermaksud: "... sombong itu adalah menolak kebenaran dan menghina makhluk." (Riwayat Muslim no 275).

Para ulama menjelaskan tiga ciri utama individu yang takabbur. Ciri-ciri itu adalah:
1. Merasa diri lebih baik
2. Menghina orang lain
3. Menolak kebenaran

Ketiga-tiga sifat itu menyerang manusia dalam bentuk pakej. Ketiga-tiganya datang serentak. Ia saling berkait rapat antara satu sama lain. Apabila merasakan diri lebih baik, mulia, dan tinggi, seseorang itu cenderung memandang orang lain buruk, hina dan rendah. Apabila dua sifat itu mendominasi seseorang maka dia akan jadi terlalu obses terhadap dirinya sendiri. Ketika itu, dia akan menolak apa sahaja pandangan, saranan, dan teguran daripada rang lain walaupun benar.

Hendaknya kita dapat membezakan antara takabbur yang keji dengan harga diri yang terpuji. Orang yang mempunyai harga diri (izzah dan maruah) memandang dirinya tinggi kerana Islam, bukan atas sebab-sebab kehebatan diri sendiri. Individu yang mempunyai harga diri yang tinggi merasakan dirinya berkemampuan, berkeyakinan dan berhak untuk berjaya dalam hidup hasil keyakinannya kepada Allah.

Orang yang mempunyai harga diri tinggi sangat menghargai orang lain. Mereka melihat dunia sebagai medan "perkongsian" untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan dan kebajikan. Para Rasul, Nabi, Siddiqin, syuhada' dan orang soleh adalah mereka yang mempunyai harga diri yang tinggi. Mereka sentiasa mendapat inspirasi daripada ayat al_quran ini: "Jangan kamu merasa hina dan jangan kamu merasa gentar. Kamulah orang yang tinggi jika kamu beriman." (Surah Ali 'Imran 3: 139)
Dan hasil pertembungan antara harga diri dan takabbur inilah yang berlaku sepanjang sejarah perjuangan mendaulatkan Islam. Yang berjuang menegakkan Islam mempunyai keyakinan diri yang tinggi kerana keimanannya, manakala yang menentangnya juga disebabkan keyakinan kerana ketakabburannya. Terdapat garis pemisah yang sangat besar antara kedua-dua sifat itu walaupun impaknya kepada diri seolah-olah hampir sama.


Tanda Takabbur

1. Tidak suka berdoa
Doa ialah lambang sifat kehambaan kepada Allah. Sifat kehambaan itu antaranya rasa lemah, hina, jahil, malu, miskin, berdosa dan mengharap kepada Allah. Apabila ada rasa kehambaan, timbul rasa mengharap dan meminta kepada Allah dan ini akan menyebabkan seseorang berdoa kepada Allah.
Enggan ataupun jarang berdoa secara langsung ataupun tidak menunjukkan seorang hamba tidak perlukan Tuhannya. Seolah-olah dia sudah kuat, pandai, kaya, bersih dan tidak ingin apa-apa lagi daripada Allah. Orang yang takabbur juga sering melewat-lewatkan solat-satu petunjuk jelas yang dia tidak suka berdoa kerana hakikatnya solat itu juga adalah satu doa. Payah sungguh dia untuk rukuk dan sujud sebagai tanda rasa kehambaan kepada Allah.

2. Mudah terluka dan melukakan hati orang lain
Orang yang ego selalunya mudah melukakan hati orang lain menerusi percakapan dan sikapnya. Percakapannya penuh dengan perlecehan, membangga diri dan kebanggaan. Sikapnya menjengkelkan. Hati insan lain sering dilukakan oleh orang takabbur sekalipun orang yang rapat dengannya seperti ibu, bapa, isteri, suami, anak, sahabat, dan sudara-mara.

Ironinya, orang takabbur mudah dilukakan. Mudah rasa tersindir, rasa diperkecil dan dipinggirkan oleh orang lain. Dia jadi terlalu sensitif dan mudah terasa (emosional). Mudah kecil hati, merajuk dan akhirnya menjauhkan diri. Pantang dicabar, pasti mencabar. Orang ego modah marah dan melenting kerana hal-hal remeh-temeh. Orang ego hakikatnya "toxic people" yang meracuni persaudaraan, meretakkan persahabatan, dan membubarkan perkahwinan.

3. Sukar memberi dan meminta maaf
Orang yang takabbur sukar memaafkan kesalahan orang lain. Tiada istilah "forgive and forget" dalam kamus hidup si takabbur. Apalagi melupakannya, memaafkannya pun tidak sama sekali. Apabila dia mempunyai kuasa dan upaya untuk membalas, dia membalas dendam bukan sahaja setimpal malah melebihi kesalahan yang dilakukan oleh oang lain terhadapnya. 

Mengapa orang yang sukar memaafkan kesalahan orang lain dianngap takabbur?

Cuba fikirkan, Allah Yang Maha Besar itupun sudi memaafkan kesalahan (dosa) hamba-Nya. Bukan sahaja memaafkan malah Allah menyayangi hamba yang bertaubat lebih daripada dosa si hamba tadi. Justeru, siapakah kita untuk tidak memaafkan? "Besar" sangatkah diri kita berbanding kebesaran Allah?

 Jangan hasad dengki

4. Memotong cakap orang lain
Orang ego selalu ingin menjuarai sesuatu perbualan. Dia menganggap perbualan sebagai satu "pertandingan", bukan satu perkongsian. Kerakusan menunjuk pandai, mengaku kaya, mengangkat diri hingga menyebabkan dia kurang menjadi pendengar. Sebaliknya dia sering memotong cakap orang lain sebelum sempat teman bualnya menghabiskan cakap atau mengutarakan pendapat.

Orang ego suka didengar tetapi benci mendengar. Dalam sesuatu mesyuarat misalnya, dia tidak suka orang lain memberi pandangan dan hanya mahu pandangan dia sahaja diterima. Pendek kata, posisinya harus berada di atas, orang lain di bawah. Self-centered (berfokus diri) menghancurkannya tanpa disedari. Kemahiran berkomunikasi dan berinteraksi yang sangat penting untuk kejayaan dan kebahagiaan dalam hidup sudah tidak ada lagi.

Hakikatnya, apabila kita menampilkan ego dalam pergaulan, tindakan sedemikian akan memancing dan menumbuhkan ego orang lain. Inilah yang terjadi dalam kehidupan manusia masa kini. Ego lawan ego. Dan akhirnya retak perpaduan, hancurlah persudaraan dan putusnya sebuah percintaan. The first duty of love is to hear-tugas cinta yang pertama adalah untuk mendengar. Orang takabbur sering tandus cinta kerana dia mengabaikan tugas cinta yang pertama ialah mendengar!

5. Gila kuasa dan jawatan
Takabbur akan melahirkan manusia yang gila kuasa. Dia sentiasa ingin jadi pemimpin. Ironinya, jika dia jadi pemimpin orang lain sukar mengikutnya dan jika dia pula jadi pengikut, orang lain tidak suka mengikutnya. Arahannya kasar. Tidak kiralah sama ada dia digelar "Firaun kecil" atau "Little Napoleon", namun sikap gila jawatan sering menyebabkan orang takabbur mendabik dada dan mendakwa semua kemajuan adalah atas usahanya. Oleh sebab itu, dirasakan bahawa dia mesti dinobatkan sebagai ketua!

6. Cara berpakaian dan berjalan dengan angkuh
Suka dinukilkan di sini satu kisah daripada kita Ihya' Ulumuddin karya Imam Al-Ghazali. Begini kisahnya:
Abu Bakar al-Hazali bercerita: Suatu hari kami bersama Hassan. Lalu Ibn al-Ahlam datang kepada kami hendak bercukur. Dia memakai jubah sutera tersusun di atas betis, tersingkap pula bahagian luarnya. dia berjalan berlenggang. Perbuatannya yang sedemikian itu dilihat oleh Hassan, lalu Hassan pun berkata, "Sombongnya, dia memalingkan pipi dan menampakkan kebodohannya. Engkau akan terlihat kebodohanmu dalam nikmat yang tidak disyukuri dan tidak menggunakannya sesuai dengan perintah Allah serta tidak pula memberikan haknya pada setiap yang memerlukan...

"...Nikmat itu hak Allah dan dengannya syaitan sentiasa mencari mangsa. Demi Allah, seseorang yang berjalan dengan wataknya atau bergerak seperti orang gila itu lebih baik daripada ini."

Ibn al-Ahlam mendengar kata-kata itu lalu dia kembali dan meminta maaf kepadanya.

Hassan berkata,"Jangan kau meminta maaf daripadaku, tapi bertaubatlah kepada Allah. Tidakkah engkau mendengar firman Allah yang bermaksud, 'Janganlah engkau berjalan di atas muka bumi dengan sombong, sesungguhnya engkau itu tidak dapat menembusi bumi dan tidak akan engkau sampai setinggi gunung.' (Surah al-Isra' 17:37)

Ya, mungkin gaya berpakaian orang yang angkuh telah berubah mengikut fesyen dan trend semasa, tetapi satu ciri yang tidak berubah ialah gaya sombong yang begitu ketara hingga mudah dikesan oleh mata. Berpakaian indah tidak salah, malah Islam sangat menggalakkannya.

Yang diharamkan ialah rasa hati yang ingin menunjuk-nunjuk dan membangga diri dengan pakaian itu. Begitu juga dengan cara berjalan yang ingin selalu di depan dan suka diiring dari belakang. Rasulullah s.a.w. sendirinya ada kalanya menyuruh sahabatnya berjalan di hadapan sewaktu berjalan kaki bersama mereka.

7. Gila pujian
Orang takabbur, gila ingin menjadi pemimpin dan apabila dia memimpin dia akan gilakan pujian. Jika pemimpin gila dipuji, lalu dia akan dikelilingi kaki ampu. Di sisi Firaun ada Haman, ada orang kanan yang suka membodek. Dan apabila ini terjadi, yang menderita ialah rakyat atau pengikutnya. Penderitaan rakyat, suara pengikut dan kelemahan dalam pelaksanaan sesuatu dasar yang dibangkitkan tidak akan sampai ke atas.

Mengapa? Hanya pujian yang hendak didengar, lalu pujianlah yang diberi. Hasilnya pemimpin akan mendapat maklumat, berita dan aduan yang salah. Ingat tak cerita raja tanpa baju? Dia berbangga dengan pakaiannya hingga tanpa sedar dia sebenarnya sedang berbogel di hadapan khalayak ramai. Itulah nasib pemimpin yang suka diampu. Bukankah sebab pujian dan sanjungan, telah ramai pemimpin yang kecundang?
Pujian membutakan mereka daripada melihat kelemahan dan kekurangan diri. Mereka telah merasakan begitu "super" sehingga terlanjur bertindak di luar kemampuan diri dan batas syariat. Mereka terlupa, berlagak kaya akan menyebabkan seseorang menjadi papa.

Kuantiti material dianggap petunjuk kewibawaan. Padahal kewibawaan kepimpinan bukan ditentukan oleh kuantiti harta tetapi oleh kualiti jiwa. Dan jiwa yang berkualiti itu antaranya adalah bebas daripada sifat takabbur!

8. Bencana yang menimpa pesaingnya dianggap hasil kelebihan dirinya
Berdasarkan tulisan Imam al-Ghazali, orang yang takabbur akan mendakwa bencana yang menimpa pesaingnya adalah hasil kelebihan dirinya. Sikap buruk inisering hinggap pada orang yang rajin  beribadah dan takabbur kerana ibadahnya.


Kata-kata Imam al-Ghazali: "Dan itulah kebodohan, pengumpulan antara kesombongan dengan kebanggaan diri dan tertipu dengan ibadahnya kepada Allah. Dan kadang-kadang, disebabkan kedunguan dan kebodohannya itu, berkesudahan pada sebahagian mereka (ahli ibadah) kepada penentangan. Dan ia mengatakan, kemu akan lihat apa yang akan berlaku ke atasnya (pesaingnya). Dan apabila ia tertimpa dengan satu bencana, nescya ia akan mendakwa bahawa yang demikian itu adalah karamahnya."


Sikap ini sangat berlawanan dengan sifat tawaduk. Orang yang tawaduk akan merasakan bahawa jika terjadi sesuatu bencana adalah kerana dosa-dosanya, bukan dosa orang lain.

Cuba dengarkan apa yang menjadi rintihan seorang soleh, 'Atha al-Salimi, tatkala berhembus angin kuat dan petir. Beliau berkata: "Tidaklah tertimpa atas manusia oleh apa yang menimpa mereka, melainkan disebabkan aku. Dan jika 'Atha mati, nescaya mereka terlepas daripada bencana."


9. Tidak suka berziarah
Antara orang yang takabbur ialah dia tidak mahu menziarahi orang lain walaupun hasil ziarah nanti akan mendatangkan kebaikan dan kebajikan. Lebih-lebih lagi ia sukar menziarahi orang yang dianggap bawahannya. Dia tidak mahu duduk bersama dengan orang yang dianggap miskin, kotor, busuk, atau buruk. Mungkin setakat membantu fakir miskin orang takabbur masih mampu melakukannya, tetapi duduk bersama mereka jauh panggang daripada api!


Itulah definisi, ciri, dan tanda-tanda takabbur. Sekiranya sifat takabbur sudah menjadi tabiat ia boleh dikesan secara menyeluruh dan holistik. Sifat takabbur itu akan terzahir (menurut Imam al-Ghazali) pada cara dia memalingkan muka, memandang dan mengerling, menundukkan kepala, duduk bersila atau bertekan ke lantai. Dan kelihatan juga pada perkataan, intonasi suara, cara berjalan, berdiri, duduk, gerak dan tenangnya.

Malang sekali kalau kita memiliki sifat takabbur tetapi masih tidak menyedarinyakerana tidak mengenali ciri-cirinya. Akibatnya, ramai orang yang menganggap orang lain yang takabbur, bukan dirinya. Padahal dengan menganggap sedemikian, dialah yang sebenarnya telah memiliki ciri takabbur. Bukankah orang yang takabbur itu merasakan bahawa "ana khairun minhu"- aku lebih baik daripadanya?


p/s: Sama-sama kita memperingati diri sendiri, mohon dijauhkan daripada sifat takabbur tanpa disedari terutamanya dalam kesibukan kita dengan kerjaya yang dimiliki...Marilah kita menjadi syabab yang dongak tetapi memiliki jiwa yang tunduk



2 comments:

hazirah said...

Nadi,TERIMA KASIH atas peringatan ini...kita manusia lemah, sering kali tunduk pada godaan dan hasutan syaitan...tazkirah sebegini harapnya dapat memmandu kita kembali kepada tujuaan sebenar kita di atas dunia ini...=) InsyaAllah..

Nadirah said...

Hazi, sama-sama kasih =)
peringatan buat diri saya juga, kadang-kadang kita sebagai manusia lupa dan tak sedar mungkin ada perbuatan atau percakapan kita menyakiti orang lain. Mudah-mudahan Allah memberkati setiap langkah perjalanan hidup kita