Tuesday, July 27, 2010 | By: Nadirah

Aku Lebih Baik daripada Kamu?

oleh: Pahrol Mohd Juoi
(Solusi Isu 21)

Takabbur sebenarnya hak mutlak dan eksklusif Allah s.w.t. Tiada siapa pun yang boleh mencabar-Nya. Orang yang takabbur pasti lebur. Mereka akan musnah di dunia dan akan terseksa di akhirat. Ini detegaskan sendiri oleh-Nya melalui sebuah hadis Qudsi:

Daripada Abu Sa'id al-Khudri dan Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Allah berfirman: 'Kesombongan adalah selendang-Ku dan kebesaran adalah sarung-Ku. Maka sesiapa yang bersaing dengan-Ku pada satu daripada kedua-duanya, maka pasti akan Kulemparkan ia ke dalam jahannam." (Riwayat Abu Daud no.4092 dan Ibn Majah no 4147)

Jelas di sini, takabbur ialah ibu segala sifat mazmumah. Daripada sombong lahirnya marah, hasad, ujub, riya' sum'ah, tamak, bakhil, dan sebagainya.

Sejarah Takabbur

Kederhakaan dalam kalangan makhluk terhadap Khaliq ialah keengganan iblis dalam mematuhi perintah Allah untuk sujud hormat kepada Nabi Adam a.s. Tidakkah ini disebabkan rasa takabbur? Iblis yang merasakan dirinya lebih baik, tidak mahu tunduk kepada Nabi Adam a.s. hanya kerana dirinya diciptakan daripada api berbanding Nabi Adam yang diciptakan daripada tanah. Sindrom "ana khairun minhu" (aku lebih baik daripadanya) ini akhirnya turut menular menjangkiti manusia. 

Alhasil, lahirlah Qabil, anak Nabi Adam a.s. sendiri yang merasakan dirinya lebih baik dan berhak mengahwini saudara perempuannya yang lebih cantik berbanding adiknya Habil. Lalu pembunuhan pertama dalam sejarah kemanusiaan pun berlaku. Qabil mengikuti jejak iblis apabila lebih mementingkan kehendak nafsu berbanding hukum yang telah ditetapkan, sebagaimana iblis enggan mengiktiraf kelebihan ilmu yang ada pada diri Nabi Adam a.s. Begitu juga Qabil yang tidak dapat menerima hakikat bahawa pengorbanan adiknya Habil lebih ikhlas berbanding dirinya.