Saturday, March 20, 2010 | By: MiraculousSigns

Anakku, makanlah sayang.

Bayi itu tertawa riang melihat kehadiran kami.
Ramai yang menjenguknya pagi itu nampaknya.
Rekod kesihatannya diselak satu persatu.
Mata tertumpu pada graf pertumbuhannya.
Plot yang ditanda pula menunjukkan beratnya di bawah 3rd percentile.

"Faltering growth"

Dietitian muda itu lantas beramah mesra dengan si ibu.
Bertanya serba sedikit latar belakang keluarga.
Menyelidiki corak pemakanan bayi itu seawal usia 1 hari.

Akhirnya, barulah dikenal pasti.
Si ibu enggan mengajar anaknya memakan makanan selain daripada susu.
Padahal umur bayi itu hampir mencecah 1 tahun.
Mengapa?
Alasannya, bayi itu sering menolak apabila disuapkan makanan.
Sehingga akhirnya menimbulkan kekhuatiran pada si ibu.
"Tak pelah... ikut sahajalah kehendak anak... Usah dipaksa-paksa."

Namun, bagaimana mungkin si anak mendapatkan zat yang mencukupi andai sumber makanannya hanyalah daripada susu sahaja.
Sedangkan pertumbuhannya semakin meningkat.
Keperluan zat bagi badannya juga turut meningkat.
Jika dibiarkan, dalam jangka masa panjang, dikhuatiri perkembangan otaknya turut terganggu.
Sedangkan pertumbuhan otak sangat-sangat genting saat-saat itu.

Nah... Anak tidak boleh dimanjakan saat itu.
Harus di'paksa' menerima makanan pejal seawal usia 4-6 bulan.
Mahu tidak mahu, perlu diajar jua.
Meskipun mungkin pada awalnya si cilik akan menolak..
Mulakanlah dengan yang sedikit.
1 sudu..
2 sudu..
Meningkat dan terus meningkat selari dengan penerimaan si anak..

***
Apabila berhadapan dengan kes sebegini, diri ini terlintas akan 1 pepatah :
"Nafsu ibarat seorang bayi, bila dibiarkan terus menyusu akan tumuh besar menjadi anak yang suka menyusu. Tetapi bila kita menyapihnya, maka ia pun akan terbiasa tersapih"

Benar bukan? Nafsu itu ibarat bayi. Jika tidak diajar, sampai bila-bila pun tidak akan berubah. Sehingga akhirnya memberi impak negatif kepada akhir hayat seorang insan.

Untuk mengubah nafsu, bukan semudah a,b & c.
Bukan sekadar terhenti pada pembacaan.
Tetapi perlu dididik, perlu diasuh.
Bagaikan seorang bayi, tidak akan mahu memakan bubur andai tidak diajar.

Teman-teman, mari kita berfikir sejenak.
Adakalanya,

Kita tahu yang seharusnya kita solat di awal waktu.
Tetapi nafsu masih enggan,
Membisikkan alasan-alasan agar melengah-lengahkannya.
"Siapkan assignment dulu"
"Bukak facebook dulu"
Sehingga akhirnya kita turut lalai dibuai keinginan nafsu...

Adakalanya,
Kita tahu yang pergaulan lelaki dan perempuan itu ada batasnya.
Tetapi nafsu mengaburi kejernihan mata hati kita.
Menguatkan lagi ketertarikan antara kedua-dua jantina.
Sehinggakan akhlaq yang sewajarnya sudah tidak diambil peduli.
Sehinggakan hilang rasa malu dalam menjaga etika pergaulan.
Lupa seandainya Rasulullah ada ketika itu, apakah kita aakan sanggup bersikap sedemikian di hadapannya?

Jika difikir-fikir, banyak lagi lompong-lompong iman yang perlu dibaiki.
Selagi mana umur masih ada, kerahkan segala kudrat untuk mendidik diri.
Agar sampai waktunya, kita tenang dalam menghadapi sakaratul maut.
Pulang dengan redha Ilahi.

Oleh itu teman-teman,
Usahalah sehabis baik.
Apabila bisikan syaitan itu datang.
Diikuti lagi dengan pujukan nafsu sendiri.
Ingatkanlah diri.

"Wahai MAKSIAT, Sesungguhnya ALLAH lebih besar darimu, menjauhlah dariku."

Akhirnya, kepada Allahlah jua kita berharap.
Agar sentiasa dilimpahkan dengan kesabaran dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan ujian ini.

Sama-samalah kita saling menasihati.

Salam sayang (^_^)

0 comments: