Alhamdulillah, hari ni lebih kurang sebulan setengah saya kerja di sini. Ramai adik-adik junior bertanya, "Kak, macam mana keje? OK ke?" "Alhamdulillah, ok je setakat ni..." ringkas tapi ada makna tersirat =)
Saya ditempatkan di Hospital Daerah yang tiada pakar, dah pasti teramat lain suasana kerja dengan suasana semasa praktikal dulu (sebab praktikal semua di hospital besar & kes yang bombastik!). Kebanyakan komen yang saya dapat, ala hospital daerah best la tak busy. Kes-kes pun biasa-biasa aje. Balik-balik DM/HPT/HPL/GDM/PIH, lebih kurang macam OPD je. Tak la pening sangat. Ulang-ulang benda yang sama, macam boleh tape je..
Memang permulaannya saya pun berfikiran begitu, (sume fresh grad sure fikir nak fokus klinikal, baru lah dietitian sejati). Tapi lepas dapat motivasi daripada Pn Ramlah fikiran saya bertukar lain. "Saya dulu Nadirah, 10 tahun kerja sorang di hospital negeri. Awak kira OKlah hospital daerah, tok sah riso lah banyak benda awak boleh buat untuk Hulu tu. Jangan rasa kita sorang tak boleh buat apa, semua atas kita. Bagi meriah sikit hospital tu, buat aktiviti ke. Lama-lama nanti Ok lah tu.." Banyak hikmah saya cari kenapa Allah pilih saya di sini, sebab DIA tak akan beban hamba-Nya dengan sesuatu yang tak sanggup dipikulkan? Alhamdulillah saya menjumpainya, walaupun tak banyak tapi mudah-mudahan dapat dimanfaatkan bersama ;)
1. ALLAH nak saya belajar benda yang tak ada dalam kelas
Awal-awal saya datang, agak huru-hara. Sebelum ini dietitian pelawat sahaja 2X/bulan, jadi referral semua buat di klinik pakar walaupun IPD. Jadi bila saya ada pun referral ke klinik pakar jugak, jadi saya pergi ke wad (ada 4 je pun; lelaki, perempuan, kanak-kanak & bersalin...) terangkan satu-satu kepada SN cara nak refer patient. Bawak borang referral, perkenal diri kat doktor & inform jugak kepada semua ketua unit dalam mesyuarat. Kira macam jaja diri jugak la... =P
Perkara ni tak semudah yang dibayangkan, ada juga MO tak tak mahu refer kes kepada dietitian walaupun pesakit dah ada komplikasi DM/HPT (kira penyakit berangkai). Mungkin bagi mereka tak penting kot? Tapi bila baca balik CPG (DM terutamanya), pesakit haruslah dilihat oleh yang berkaitan dan salah satunya ialah dietitian! Jadi apa yang saya buat?
Kebiasaannya kalau tak ada mesyuarat atau benda penting yang mesti diselesaikan, saya akan ke wad lelaki & perempuan. Kalau tak ada refer hari tu, saya review patient yang lama. Tengok cencus atau diet order kat dapur mana ada kes-kes baru yang boleh saya tengok. Baca BHT kemudian bagitau doktor atau nurse (kalau Dr tak ada), "Saya nak tengok patient ni eh, nanti suruh Dr isi borang!" Hehehe bertapa tak malunye saya ^_^
Untuk OPD pulak melibatkan Klinik Kesihatan (KK), di daerah Hulu Terengganu ni ada 4 buah KK. Saya sediakan surat bagi pihak pengarah & edarkan ke semua KK memberitahu perkhidmatan dietetik di hospital ini. Mohon MO atau FMS refer untuk kes-kes yang harus dilihat (kebanyakannya PIH & GDM) dan mendapatkan appointment di Klinik Pakar. Memang agak huru-hara pada mulanya, sebab SN di klinik pakar agak bersungut apabila saya menerima banyak sangat referral. Kalau tetapkan 10 orang satu sesi, yang datang adalah 3 orang. Takke membazir masa saya menunggu aje? Lebih baik saya ambil lebih-lebih sikitkan.. Biasalah mengajar orang yang 'lebih dewasa' memerlukan kesabaran..
*Dulu masa jadi student, saya rasa banyak benda jugak disuap oleh lecturer atau dietitian. Datang hospital tengok referral, kadang-kadang ada jugak cari sendiri bila dietitian suruh. Tapi sekarang sistem itu perlu diwujudkan terlebih dahulu dan difahami oleh semua orang. Komunikasi tersangatlah penting antara satu sama lain. Memang terus terang saya menghubungi kawan-kawan & dietitian di HSNZ, Dungun or Besut & Setiu. Malah dietitian di SP dulu pun saya contact, mintak pendapat beliau untuk set up klinik OPD. Sampai beliau kata, "Amboi, panjangnye antena awak cari channel. Sampai ke utara!" Saya bertuah ada senior, agaknya macam mana senior dulu survive masa nak mulakan dietetik di Malaysia? ^_^
2. ALLAH nak saya sabar + redha
Penduduk di sini tak sama macam di Kuantan (dulu rasa di Bukit Sekilau agak educated berbanding Beserah sebab dekat dengan bandar. Sorry kalau underestimate..), SP, Kubang Kerian apatah lagi KL atau Selangor. Cabaran pertama yang saya hadapi ialah dialek. Kalau setakat loghat Terengganu, insyaAllah boleh faham lagi tapi loghat Kuala Berang agak "special". Kebanyakan pesakit di wad sudah berusia, jadi lontaran suara semasa kaunseling tu dah pastilah high pitching punya! Tambahan pulak bulan puasa ni, tersangatlah menguji kesabaran. Kadang-kadang mereka sendiri tak memahami apa yang ditanya, hanya tersenyum. Macam mana kaunseling nak dibuat, saudara-mara pun tak ada bersama pesakit...
Selain itu, mereka jugak bukan semuanya boleh membaca. Jadi flipchart jadi sangat-sangat penting setiap kali nak ke wad atau klinik. Pamphlet macam tak laku sangat, sebab mereka lebih berkenankan gambar-gambar yang menarik. Jadi, saya kena rajin membuat flipchart lagilah nampaknya ;) Kalau macam senduk tu, kena bawak yang real punya, kalau tunjuk gambar kadang-kadang mereka tak dapat nak bayangkan. Kalau tunjuk mangkuk lagilah tak tahu sukatan, untuk pesakit DM bahagian CHO portion kena ulang banyak kali seperti mengajar anak kecil untuk pastikan mereka faham. Sebabnya kebiasaannya pesakit DM akan hypo selepas kaunseling sebab mereka takut nak makan apa yang dihidangkan..
Satu hari 2 orang pesakit memberitahu saya: "Mujur la doktor mari ke mak cik kabo gini, lama dah mak cik ada kencing manis ni tapi tak rajin pun doktor cerita lagu mana nak makan. Kalau tak sampai bila-bila mak cik salah. Gula sokmo la tinggi walaupun tak makan.Tak tahu dah nak buat lagu mana.. Kalau pegi check, Doktor kadang bising bila gula mak cik tinggi rupanya cara makan mak cik ni salah selama ni.." (sambil menggosok-gosok bahu saya..terharu!)
Kalau pesakit yang degil tu, biasalah bukan semua orang senang nak berubah. Cuma setiap kali nak memulakan kaunseling saya akan baca doa ini: Rabbanaftah bainana wa baina qaumina bil haq, wa anta khairul faatihiin.. Moga Allah membuka hati mereka, InsyaAllah.
3. ALLAH memilih saya menjadi pemimpin
Hanya seorang dietitian di sini, dan secara automatiknya menjadi Ketua Unit Dietetik dan Sajian seperti di hospital lain. Awal-awal saya masuk, semacam ada konflik. Ramai yang mempertikaikan mengapa saya pulak menjadi Ketua Unit sedangkan saya masih baru dan paling terasa ada yang merasakan saya merampas semua tanggungjawab yang dipegang oleh CO selama ini. Allahu Akbar! Terlalu susah untuk saya terangkan. Dietitian dan CO dua benda yang berbeza, saya cuma memantau untuk bahagian sajian dan perlu ambil tahu apa yang berlaku dalam unit walaupun 70% perlu ditumpukan kepada klinikal. Semua mesyuarat berkaitan perlu dihadiri, dan di sinilah perancangan dan pembahagian masa amat penting. Kalau dah satu petang hbis untuk mesyuarat (tak termasuk lagi mesyuarat tergempar! Kalau tergempar,sure dah wakil kena pergi.hehe..), pesakit kat wad atau klinik mestilah kena tengok cepat-cepat. Laporan-laporan yang macam-macam tu.. Hospital yang kecil ni tak ada HIS macam hospital besar, jadi report pesakit still tulis dalam borang macam logbook dulu.. Alhamdulillah sekarang dah ada lebih 45 orang pesakit dengan saya untuk bulan pertama ni ;) Di sinilah ALLAH nak ajar saya supaya hargai masa. Biarlah terkejar-kejar ke sana sini, tapi apa yang dirancang pada hari itu dapat dilaksanakan dengan baik. InsyaALLAH.
Satu hari seorang staff bertanya kepada saya,"Habis sekarang ni awaklah yang pergi wad? CO dah tak pegi wad dah? Mesyuarat pun dia dah tak masuk" Macam peluru berpandu soalan tu dan saya tak tahu apa motif soalan tu ditanya. Saya jawab,"CO memang tak tengok patient, selama ni pun visiting dietitian je yang tengok. Kalau mesyuarat tu, memang sebelum ni CO sebab dia ketua unit. Tapi bila ada dietitian, ketua unit dah bertukar jadi CO kira bawah dietitian la..." "Ooo ye ke. Macam tu pulak. Pelik." jawabnya. Saya cuma diam aje, biasalah benda baru dah pasti tak dapat diterima oleh semua orang.
Di unit sendiri, masih menyesuaikan diri. Staff semua yang dah berpengalaman, jadi saya harus belajar untuk sesetengah perkara. Saya juga harus mengajar dalam banyak aspek bagi memastikan apa yang disediakan untuk pesakit bersesuaian dengan penyakit mereka. Jadi, selain daripada menjadi ketua, saya rasakan dietitian berperanan sebagai murabbi kepada staff. Setiap makanan yang disediakan, harus diberitahu kenapa & mengapa. Ajar mereka untuk relate antara modifikasi yang dibuat & penyakit, bukan sekadar memasak sahaja.
Rasanya setakat tu dulu, kalau ada apa-apa yang nak ditambah mungkin selepas ni kot. Moga semakin lama bekerja, saya semakin nampak hikmah yang ALLAH nak bagi. Selamat Maju Jaya untuk kawan-kawan dan adik-adik, sesungguhnya pengalaman setiap orang itu berbeza-beza tapi amat bermakna kalau dikongsi ;)
Semoga kita berjumpa satu hari nanti, rindu semua...